Dynas pon susukan anaknya

Dynas Mokhtar dan anaknya

PUTERI kesayangannya, Khyra Khalyssa sudahpun berusia 13 bulan. Seperti ibu lain, pelakon dan pengacara jelita Dynas Mokhtar juga ingin melihat Khyra membesar dengan sempurna di depan matanya.


Dynas dan suami, Mohd Hafizy Hafiz ingin memberikan yang terbaik buat Khyra. Justeru, Dynas ingin menyusukan Khyra dengan susu ibu sepenuhnya sehingga dia berusia dua tahun.

Kata Dynas, dia tidak ada masalah menidurkan Khyra pada waktu malam kerana belum sempat nak meragam, dia memberinya susu badan dan terus menyusukannya sehingga tidur dengan lena.
“Khyra memang kerap menyusu badan dan dia hanya minum susu ibu dalam botol sebanyak dua hingga tiga kali sehari. Apabila saya keluar bekerja, saya akan memerah susu dengan pam dan meletakkannya dalam beg susu.

 


“Ini memudahkan pembantu rumah dan ibu mentua yang menjaga Khyra menyusukannya di rumah dengan susu ibu yang juga makanan terbaik untuk tumbesarannya,” katanya.

Berkongsi perkembangan Khyra ketika ini, kata ibu muda yang juga pemilik nama sebenar, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 28, Khyra juga sudah mula belajar bercakap di rumah.

“Saya dan suami memang sering bercakap dengan Khyra. Antara perkataan yang kerap disebutnya ialah nak dan nanak (tak nak) setiap kali dia mahu sesuatu dan bercakap seperti orang dewasa.

“Saya juga sudah mula memberikannya makanan pejal ketika dia berusia lapan bulan dan kini Khyra juga suka makan nasi dan apa yang saya dan suami makan di rumah.

“Selain itu, giginya juga sudah tumbuh lima batang dan Khyra sudah belajar menggosok giginya sendiri pada waktu pagi dan malam,” katanya.

Pada masa sama, kata Dynas, dia merancang untuk menghantar Khyra ke tadika pada usianya empat tahun. Dia dan suami juga bercadang menghantarnya ke kelas seni untuk belajar menari dan sebagainya terlebih dulu pada usianya dua tahun.

Dynas juga ingin memastikan Khyra belajar bergaul dengan kanak-kanak sebayanya dulu dengan menghantarnya ke kelas seni.

Mengenai masa depan anaknya, Dynas lebih suka menyerahkan pada Khyra sendiri untuk memutuskannya apabila dia dewasa kelak.

“Ketika kecil dulu, saya pun tidak tahu akan bergelar artis seperti sekarang. Terpulanglah pada minat Khyra apabila dia besar nanti. Khyra pula agak pemalu dengan orang yang dia tidak kenal tapi dia tidak takut kamera dan fotogenik dalam gambar.

“Berbanding dengan daddynya (suami Dynas) pula dia ingin melihat Khyra menjadi doktor, satu hari nanti,” katanya.

Labels: ,