Tudung Eksklusif Aidilfitri!!!!

 Koleksi Butik D’Haja

JIKA ingin mencari sesuatu kelainan bagi rekaan tudung untuk digayakan bersama busana terpilih pada 1 Syawal nanti, apa kata mencuba tudung eksklusif daripada koleksi Butik D’Haja. Bukan saja menarik untuk dipakai malah kombinasi warna yang digunakan juga mampu menyerlahkan seri wajah agar tampil menawan pada hari berkenaan.


 





Bagi pemiliknya, Nor Hasniza Ahmad, setiap rekaan tudung dihasilkan sendiri suaminya, Mohd Suhaidi Ariffin dan ia mengikut kesesuaian fesyen serta gaya terkini wanita bertudung.
Malah menurutnya, untuk memberikan lebih keselesaan kepada wanita terutama bagi mereka yang baru ‘berkenalan’ dengan pemakaian tudung sebegini penggunaan kain kapas banyak mempengaruhi koleksi ditawarkan.


“Saya amat mementingkan keselesaan pelanggan dan cuba sedaya upaya menghasilkan produk yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran pada harga berpatutan.

“Maklum balas diperoleh sepanjang dua tahun beroperasi amat memberangsangkan dan ia menjadikan saya lebih tekad untuk mencipta kelainan dalam bergaya bagi wanita bertudung agar tidak terikat pada satu jenis pemakaian tudung saja,” katanya.

Selain itu, D’Haja turut menggunakan kain kapas lycra dan kapas denim bagi menguatkan lagi koleksi penggunaan bahan kapas dalam pembuatan tudung keluaran mereka.

Setiap rekaan dihasilkan juga tidak akan diulang reka bagi menjaga kualiti jenama D’Haja dan hanya memiliki 150 tudung mewakili setiap rekaan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, jika ada pengulangan rekaan yang ditawarkan bahan yang digunakan untuk menghasilkannya adalah berlainan berbanding rekaan asal.

Di samping itu, untuk sambutan Syawal kali ini, D’Haja memperkenalkan koleksi tudung Haja Munnira, Laura, Mayya, Marissa dan Bella sebagai pilihan terbaru pelanggan setianya.

Koleksi berkenaan boleh diperoleh pada harga bermula RM39.90 hingga RM95 dan ia bergantung kepada penambahan aksesori yang diingini pelanggan.

Labels: ,