Belanjawan 2012: 'Tunggu pengumuman gembira'

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 
memasukkan laporan Belanjawan 2012 
ke dalam beg untuk dibentangkan di Dewan Rakyat
pada hari ini jam 4 petang.


Klik sini untuk melihat lintas langsung Belanjawan 2012 4 ptg ini


KUALA LUMPUR: Golongan ‘miskin bandar’ yang berpendapatan sekitar RM3,000 berharap ada khabar gembira bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 petang ini bagi membantu mereka keluar daripada lingkungan miskin bandar.

Rata-rata masyarakat kota mahu kerajaan memberi tumpuan terhadap masalah kenaikan harga barangan, selain fokus utama juga diberikan terhadap usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan kepada golongan berkenaan.

Pekerja swasta, Azmi Idris, 40, berkata pendapatan isi rumah sekitar RM3,000 adalah tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan di ibu kota sekiranya tidak ada bantuan ataupun insentif daripada kerajaan, terutama bagi mengurus pendidikan anak.

“Saya mempunyai anak empat orang, dengan gaji yang ada saya perlu membayar duit rumah, kereta, barangan dapur dan persekolahan anak. Sebahagian besar daripada gaji saya dan isteri habis bagi menampung keperluan ini.

“Bayangkan, perbelanjaan anak sekolah saja RM3 bagi sekolah rendah dan RM5 bagi sekolah menengah, tidak termasuk keperluan persekolahan lain. Belanja dapur sekitar RM300, kadangkala ada permintaan anak tidak dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kakitangan swasta, Raj Kumar, 44, mahu aspek pendidikan menjadi tumpuan utama kerajaan bagi membantu golongan miskin bandar supaya mereka turut mendapat pendidikan sempurna serta tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.

“Apa yang dilakukan kerajaan hari ini dalam membantu golongan ini adalah berada pada landasan tepat, namun perlu diperkasakan lagi bagi membolehkan semua pihak mendapat nikmat daripada pengumuman kerajaan nanti,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Mashitah Abd Halim, 29, berkata melalui pembentangan belanjawan kali ini, kerajaan diharap lebih agresif membantu golongan miskin bandar dan mereka berpendapatan rendah di ibu kota.

“Kerajaan perlu mengubah sistem, tidak boleh lagi golongan miskin datang kepada kerajaan untuk mendapatkan bantuan, sebaliknya kerajaan perlu mencari mereka. Saya harap akan ada insentif diumumkan kerajaan bagi membantu golongan ini,” katanya.

Di GEORGETOWN, kakitangan swasta, Kenny Lee, 50, berkata golongan berpendapatan sederhana dan rendah paling teruk menerima kesan akibat kenaikan harga barang dan wang yang diperoleh setiap bulan habis begitu saja hanya untuk menampung hidup.

Labels: