ASN 3 | Agihan 6 sen seunit

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), pengurus dana Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) mengumumkan pengagihan pendapatan 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2010 iaitu jumlah sama pendapatan pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, ia akan membabitkan pembayaran RM7.52 juta yang akan memanfaatkan 11,500 pemegang unit membabitkan kombinasi 125.41 juta saham ASN 3.

Beliau berkata, kadar pengagihan pendapatan ASN 3 itu berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain terutama di dalam suasana ekonomi semasa.

“Pembayaran pengagihan pendapatan tabung ASN 3 dilaksanakan melalui pelaburan semula yang dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember ini.

“Semua transaksi ASN 3 di pejabat serta ejen ASNB digantung mulai hari ini sehingga 30 November bagi membantu pengiraan pengagihan pendapatan dan pemegang unit yang melanggan unit ASN 3 menerusi skim pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan itu,” katanya pada majlis pengumuman pengagihan pendapatan ASN 3 di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Mengulas mengenai pengambilalihan SP Setia Bhd, Ahmad Sarji berkata, PNB masih lagi dalam proses meneliti dan memuktamadkan dokumen pengambilalihan selain menunggu kelulusan Suruhanjaya Sekuriti bagi pengumuman selanjutnya.

Pada 28 September 2011, PNB mengemukakan tawaran yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6.9 bilion bagi mengambil alih saham yang tidak dimilikinya dalam SP Setia pada harga RM3.90 seunit bagi saham biasa dan 91 sen seunit bagi waran.


Labels: