Muzium Kapal Selam pertama dibuka di Melaka 22 Nov

MELAKA 13 Nov. — Muzium Kapal Selam pertama negara di Dataran 1Malaysia, Klebang akan membuka pintunya kepada orang ramai untuk menyaksikan pameran selama 10 hari mulai 22 November ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hari ini.

Beliau berkata, kapal selam itu telah tiba semalam dan akan dibawa naik ke darat pada 16 November melalui jeti sementara yang dibina dan dijangka siap berada di atas tapaknya tiga hari kemudian.

Katanya, projek keseluruhan bernilai RM12.6 juta itu diharap dapat menarik ribuan pelancong ke Melaka di samping membantu kerajaan Persekutuan menjana ekonomi negara melalui sektor pelancongan.

Ditemui pemberita ketika melawat tapak Muzium Kapal Selam itu di sini, Mohd. Ali berkata, buat permulaan, pengunjung akan dikenakan tiket berharga RM3 bagi dewasa, RM1 bagi kanak-kanak manakala potongan 50 peratus bagi warga emas.

Kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk dijadikan satu lagi mercu perlancongan di negeri ini.

Kapal selam yang mempunyai panjang 67.57 meter, tinggi 11.75 meter dan lebar 6.5 meter itu merupakan buatan Perancis yang dibina pada 1979. — Bernama

Labels: