PTPTN Tidak Ambil Tindakan Bangkrap Terhadap Peminjam

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan mengambil tindakan bangkrap terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka, kata Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata pihaknya tidak merancang menjadikan tindakan tersebut sebagai langkah terakhir memungut kembali pinjaman kerana kaedah sedia ada telah menunjukkan perkembangan positif.

"Langkah terakhir ialah menyenarai hitam nama peminjam dengan Jabatan Imigresen yang menyebabkan mereka tidak boleh ke luar negara...ini dilihat berkesan apabila mereka sanggup untuk berunding dan menyelesaikan hutang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Dewan Undangan Negeri Jenderak di Kuala Krau dekat sini, Sabtu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata tindakan bangkrap tersebut juga tidak boleh diambil kerana pinjaman mereka tidak mencapai jumlah RM30,000 seperti yang tertakluk mengikut Akta Kebangkrapan.

Katanya kebanyakan pinjaman berjumlah antara RM15,000 hingga RM25,000.

Sementara itu, Ismail berkata PTPTN meluluskan pinjaman berjumlah RM42.35 bilion kepada 1.9 juta pelajar sehingga Okt lepas.

Katanya bagi tempoh itu, seramai 999,689 orang perlu membayar balik pinjaman membabitkan nilai RM6.27 bilion, namun hanya 730,221 peminjam berbuat demikian melibatkan jumlah RM2.80 bilion. BERNAMA

Labels: