Tutti Frutti tambah cawangan di Kelantan

TUTTI Frutti, jenama terkenal dalam segmen manisan aiskrim yogurt dingin lembut dari Amerika Syarikat, merancang membuka cawangan kedua di Kelantan awal Disember ini.

Pengarahnya, Khairul Amir Zakaria berkata, maklum balas yang positif daripada peminat aiskrim yogurt di Kelantan selepas pembukaan cawangan pertama di Tanjong Chat, September lalu, menyakinkan pihaknya untuk membuka cawangan kedua di Kubang Kerian.

“Sehingga kini, cawangan pertama Tutti Frutti yang terletak di QueensPark SportsCity and Boulevard, Tanjong Chat masih tidak putus-putus menerima pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kerancakan urus niaga dan perolehan yang baik antara RM10,000 sehingga RM13,000 sehari menyakinkan kami untuk membuka cawangan kedua yang akan beroperasi di Kubang Kerian dengan pelaburan kira-kira RM700,000,” katanya di Kuala Krai, Kelantan.

Bagi cawangan kedua itu, katanya, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan SME Bank bagi mendapatkan pinjaman untuk pembukaan cawangan itu.

Katanya, Kubang Kerian terpilih sebagai lokasi kedua kerana kawasan itu kini semakin berkembang yang menjadi tumpuan masyarakat kerana berhampiran hospital, kolej kejururawatan, pejabat serta pusat beli-belah. -Bernama


Labels: