Harga Proton Saga FLX SE dilancarkan | RM49,449 OTR

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Proton Holdings Bhd. (Proton) memperkenalkan variasi model Saga terbaharunya, Saga FLX SE dan menjangka jualannya mampu mencecah 500 buah sebulan.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kereta itu dipacu enjin 1.6L Campro IAFM dan hanya menawarkan Continuous Variable Transmission (CVT) automatik bagi memenuhi selera generasi muda yang ingin memiliki kereta pertama.

"Kombinasi enjin Saga FLX SE menawarkan daya pecutan dan penjimatan petrol empat peratus lebih baik berbanding model Saga 1.6L itu, sedia ada.

"Orang ramai boleh melihat model baharu ini di semua bilik pameran Proton esok (hari ini)," katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Saga FLX SE berharga RM2,900 lebih tinggi berbanding model sedia ada, Saga FLX SE yang mempunyai perbezaan lapan ciri dalaman dan tiga ciri luaran berbanding Saga FL 1.6L Saga automatik FL.

Harga di atas jalan bagi kategori warna solid Saga FLX SE untuk pasaran Semenanjung Malaysia ialah RM49,449, Sabah dan Sarawak (RM52,049), Labuan (RM47,449) dan Langkawi (RM47,349).

Sementara bagi kategori warna metalik, kereta itu dijual pada harga RM49,899 di Semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak (RM52,449), Labuan (RM47,899) dan Langkawi (RM47,799).

Saga FLX SE menawarkan waranti sehingga tiga tahun atau 100,000 kilometer (Km) yang mana dahulu.

Mana-mana pembeli yang sedang menantikan tempahan model Saga dibenarkan menukar tempahan tersebut kepada Saga FLX SE dengan hadir ke bilik pameran di mana tempahan dilakukan.