Hari pertama ditayangkan, Ombak Rindu mengutip RM750,000



AURA filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari sudah dapat dirasai usai tayangan pratonton filem berkenaan, dua minggu lalu. Seminggu sebelum tayangan komersial, gelora peminat tegar terhadap novel yang terjual sebanyak 150,000 naskhah itu semakin membadai.

Barangkali, selama tempoh lebih 12 tahun mengenali Izzah, masing-masing tidak sabar untuk mencari erti visual kisah tragis wanita malang yang menjadi mangsa kerakusan manusia dalam novel berkenaan.



Memasuki panggung pada 1 Disember lalu, Ombak Rindu membuktikan, drama air mata Melayu juga mampu mengganas setanding filem aksi atau seram yang paling mudah memanggil penonton ke pawagam. Hari pertama ditayangkan, Ombak Rindu berjaya mengutip RM750,000.

Walaupun tidak memecah rekod Kongsi (RM1.1 juta dengan 100 pawagam), jauh sekali KL Gangster (RM1.8 juta dengan 81 pawagam), sebagai sebuah filem yang ditayangkan hanya di 71 pawagam termasuk Brunei dan Singapura, pencapaian sebuah filem adaptasi novel Melayu itu sudah cukup bagus untuk dilihat sebagai fenomena.

Labels: , ,