Maybank Sedia Khidmat Daftar Haji Melalui Mesin ATM

Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic), cabang kewangan Islam kepada Malayan Banking Bhd. (Maybank), kini menyediakan perkhidmatan yang membolehkan pelanggannya melakukan pendaftaran haji menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Penyediaan perkhidmatan tersebut adalah berikutan kerjasama strategik yang dijalin antara Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Maybank Islamic, yang turut memperlihatkan pengenalan lima perkhidmatan baharu lain oleh kedua-dua institusi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Muzaffar Hisham berkata, perkhidmatan itu terbuka kepada semua pemilik akaun Maybank dan tidak terhad kepada pemegang akaun Maybank Islamic.

"Sebaik sahaja akaun Maybank dan LTH dihubungkan, penyimpan boleh mengeluar dan menyimpan wang, memindahkan wang daripada akaun LTH ke akaun Maybank dan sebaliknya.

"Di samping itu, pemegang akaun juga boleh membuat pemindahan wang daripada satu akaun LTH ke akaun yang lain, memeriksa baki akaun dan membuat pendaftaran haji," katanya sempena pelancaran kerjasama strategik kedua-dua pihak di sini semalam.

Labels: , ,