Model Proton Sedan Terbaru | TUAH

KONSEP...orang ramai melihat kereta prototaip Tuah yang dipamerkan di PWTC, semalam.


PROTON Holdings Bhd (Proton) bakal melancarkan model sedan terbaru pertengahan tahun depan yang dijangka mampu menukar persepsi orang ramai terhadap kualiti dan prestasi jenama itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, model yang diberi nama kod P3-21A itu adalah model global generasi baru pertama yang dibina mengikut undang-undang dan peraturan global terbaru.

“Model proton terbaru ini merangkumi pelbagai parameter seperti standard pelepasan asap dan dilengkapi dengan enam beg udara serta diharapkan dapat menukar persepsi rakyat yang menganggap Proton kurang berkualiti kepada berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri canggih.

“Ini adalah sesuatu yang kita sedang usahakan bersungguh-sungguh. Daripada kereta ini, kita percaya model-model akan datang akan mempunyai ciri dan mirip yang sama. Inilah yang kita katakan penjenamaan semula Proton,” katanya kepada media di tapak pameran Proton di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat tapak Proton yang turut mempamerkan kereta protaip Tuah yang mirip model sedan baru itu.

Syed Zainal berkata, sambutan diterima setakat ini menggalakkan dan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pengeluar kereta nasional itu mengenai potensi pasaran apabila ia dipasarkan tahun depan.

Labels: ,