Set tren SCS jamin perkhidmatan komuter lebih selesa

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka menyediakan perkhidmatan komuter lebih baik dan selesa bagi pengguna di Lembah Klang apabila empat daripada 38 set tren enam gerabak (SCS) mula beroperasi Februari depan.

Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata ia sekali gus dapat mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan sedia ada yang menggunakan set tren tiga gerabak (EMU) seperti kelewatan, kekurangan gerabak dan sistem tergendala yang menjejaskan keberkesanan perkhidmatannya.

Sehingga hari ini, KTMB menerima sembilan daripada 38 set SCS dan empat lagi dijangka tiba pada Januari ini manakala baki 25 set akan diterima secara berperingkat sehingga Jun 2012, katanya.

"Kesemua 38 set tren SCS dijangka akan dapat berada dalam perkhidmatan mulai Jun 2012 dan waktu kekerapan akan dipercepatkan lagi kepada 10 minit setiap ketibaan dengan adanya 63 unit tren bagi perkhidmatan komuter iaitu 38 set SCS dan 25 set EMU," katanya.

Beliau berkata, setiap satu daripada empat set SCS yang diterima KTMB tersebut kini dalam proses akhir pengujian dan pentaulihan yang dilaksanakan oleh jurutera dari syarikat pengeluar CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (ZELC), jurutera KTMB serta diselia oleh SPAD.


Labels: