Kenapa Farah Asyikin Bertudung?



Pasti ramai yang sudah tahu penyanyi Farah Asyikin kini tampil bertudung. Rasanya masih belum terlambat untuk GUA ucapkan tahniah kepada Farah atas perubahan positifnya itu. Bagi yang baru tahu, ingin GUA maklumkan bahawa Farah telah memakai tudung bermula malam 12 Februari lalu. Iaitu selepas dia menunaikan Solat Sunat Taubat Nasuha.

“Sebenarnya saya tidak mahu bercerita sangat tentang perubahan ini. Saya tidak mahu orang tersalah anggap. Maklumlah, sebagai seorang artis segala perbuatan kita boleh menjadi bahan spekulasi. Bagaimanapun, saya berfikiran terbuka dalam hal ini dan tidak keberatan berkongsi cerita seandainya ada yang bertanya.

Sejujurnya, perubahan ini berlaku secara tiba-tiba. Saya tidak mengalami sebarang insiden yang membuatkan saya mahu bertudung. Rasa keinsafan tiba-tiba muncul dalam diri ketika saya memandu pulang ke rumah setelah menghadiri majlis pertunangan Farhan pada Sabtu lalu. Tidak semena-mena saya terkenangkan kesilapan-kesilapan masa lalu. Saya jadi takut dengan hukuman Allah kerana selama ini saya leka dengan kehidupan dunia. Rasa diri tidak sempurna dan takut tidak punya masa untuk berubah. Sepanjang perjalanan itu saya menangis sepuas-puasnya kerana rasa sangat berdosa.

Sampai di rumah saya nekad untuk buat Solat Sunat Taubat Nasuha dan selepas selesai solat itu saya tergerak untuk memakai tudung. Semuanya berlaku dengan pantas. Pembantu peribadi saya pun terkejut apabila saya muncul memakai tudung untuk pulang ke rumah keluarga saya di Taman Tun Dr. Ismail. Bagi saya inilah kebesaran Allah dan saya cukup gembira dengan perubahan ini. Kehidupan saya lebih tenang berbanding dahulu,” ujar Farah berkongsi cerita.

Dalam masa yang sama, Farah juga memberitahu yang dia berasa terharu apabila adiknya turut mengikut jejak langkahnya. Jelas Farah, adiknya mengambil keputusan untuk bertudung selepas mendapat tahu dia bertudung.

“Saya rasa terharu apabila adik saya memberitahu yang dia sebenarnya telah bernazar akan memakai tudung selepas saya bertudung. Jadi, apabila keluarga maklumkan kepada dia tentang perubahan saya, dia langsung tidak membuang masa untuk berubah. Saya cukup bersyukur dengan perkara ini. Mudah-mudahan Allah tetapkan iman supaya tidak berubah kepada kehidupan dulu,” tambah Farah lagi.

Terus menyanyi

Dengan perubahan terbaru Farah ini, pasti ada yang tertanya-tanya tentang karier nyanyiannya bukan? Jangan risau, penyanyi ini memberitahu dia tidak akan meninggalkan dunia nyanyian buat masa ini.

“Menyanyi adalah minat saya dan tidak mungkin saya akan tinggalkan dunia nyanyian dalam waktu terdekat ini. Album terbaru saya dalam proses pembikinan dan dalam sedikit masa lagi saya akan muncul dengan single terbaru. Kita dan siap rekod serta dah siap buat muzik video. Hanya menunggu masa untuk dilancarkan.

Single berjudul ‘Berpisah Untuk Setia’ ini adalah ciptaan saya sendiri dan susunan muziknya dibuat oleh Andrew Darnoko, seorang komposer dari Indonesia. Saya tidak rasa penampilan bertudung ini boleh menimbulkan masalah untuk karier nyanyian saya. Pasti ada caranya untuk bergerak sebagai penyanyi bertudung. Buat masa ini saya masih belum berbincang dengan pihak pengurusan. Tapi saya percaya mereka tidak punya masalah,” ujar Farah.

Labels: ,