KWSP Umum Dividen 6%, Tertinggi Sejak 10 Tahun!

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Ahad mengumumkan kadar dividen sebanyak 6 peratus bagi tahun kewangan 2011, yang merupakan kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan berkata walaupun persekitaran pelaburan mencabar, ia merupakan prestasi terbaik sejak tahun 2001 hasil strategi pelaburan jangka panjang dan berhemah KWSP berserta dengan usaha berterusan pasukan pelaburannya.

Untuk rekod, bagi memastikan bayaran dividen, KWSP melaburkan caruman ahlinya melalui instrumen kewangan yang diluluskan bagi mendapatkan pulangan yang optimum.

Dividen dimasukkan ke dalam akaun pencarum pada setiap tahun.

Kadar dividen yang diisytiharkan oleh KWSP adalah tertakluk kepada pulangan pelaburan yang dibuat melalui instrumen-instrumen yang diluluskan.

Dividen Tahunan dikira berdasaran baki pembukaan simpanan pencarum setakat 1hb Januari setiap tahun.

Dividen Bulanan pula dikreditkan ke akaun pencarum berdasarkan jumlah caruman bulanan yang diterima.


Labels: ,