Perbaharui cukai jalan, lesen memandu secara online

ALOR SETAR: Program Transformasi Jabatan (JTP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dimulakan sejak pertengahan 2010 dijangka diaplikasikan di seluruh negara pada April depan yang akan membolehkan perkhidmatan jabatan itu dilakukan secara dalam talian (online).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata program melalui pembangunan semula sistem pengkomputeran jabatan itu sudah 49 peratus siap dan berada dalam fasa pembangunan sistem.

Katanya, ujian penerimaan pengguna oleh JPJ sedang berjalan bagi aktiviti utama pengurusan penguat kuasa dan kutipan hasil.

Beliau berkata, pembangunan semula sistem itu membabitkan empat modul perkhidmatan teras JPJ iaitu pengurusan pendaftaran kenderaan dan kejuruteraan automotif, pengurusan pelesenan pemandu, pengurusan penguatkuasaan serta pengurusan kutipan hasil.

“Melalui JTP, JPJ akan memperkenalkan inisiatif baru yang akan memberi impak positif kepada sistem penyampaian perkhidmatan, seterusnya memudahkan pelanggan untuk berurusan dengan JPJ.

“Buat permulaan, pelancaran penggunaan sistem dalam talian bagi urusan pembaharuan cukai jalan dan pengurusan pelesenan pemandu dijangka mula diaplikasi April depan, manakala pembangunan bagi semua aktiviti dan perkhidmatan lain JPJ dijangka selesai pada Julai,” katanya selepas merasmikan pejabat baru JPJ Kedah, di Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.

Pejabat JPJ Kedah yang dibangunkan di tapak seluas sembilan hektar itu membabitkan kos RM59 juta, menyediakan 54 kaunter urusan selain dilengkapi 36 unit kompleks kediaman bagi kemudahan pegawai dan kakitangan jabatan.

Cho Ha berkata, antara inisiatif akan diperkenalkan menerusi JTP ialah urus niaga tanpa sempadan yang akan memudahkan proses pembaharuan cukai jalan dan menaik taraf pengurusan pelesenan pemandu.

Katanya, ketika ini, untuk mendaftar dan melesenkan sebuah kenderaan, bakal pemilik atau wakilnya perlu hadir ke pejabat JPJ dengan mengemukakan dokumen pendaftaran. Nombor pendaftaran kenderaan juga tertakluk kepada negeri di mana kenderaan itu didaftarkan.


Labels: ,