Persediaan Lisa Surihani sebelum bergelar isteri

Memilih untuk diijabkabul pada pagi Khamis, 23 Februari, mereka memilih Hotel Marriott, Putrajaya sebagai lokasi memeterai janji. Selang dua hari kemudian, Lisa dan Yusry akan beralih ke Pusat Konvensyen Putrajaya untuk majlis resepsi kedua-dua belah pihak.

Bagi Lisa sendiri, hatinya sudah bulat tetapi sebelum bertaut kucupan di dahi, dia dan Yusry harus mengelak daripada bersemuka. Mereka memilih untuk berpisah sementara.

SENSASI BINTANG: Kenapa harus ada tempoh berpisah?

LISA SURIHANI: Mungkin untuk kumpul rindu agaknya tapi saya cuma ikut pesan dan amalan orang-orang tua, pesan ibu saya. Kami sudah tidak bertemu sejak 10 Februari, Yusry mula-mula agak pelik dengan amalan sebegini, tapi dia okey lagipun ini bukannya satu paksaan cuma ada baiknya juga.

Bila cakap pasal hari akad nikah, apakah perkara pertama yang terlintas pada fikiran awak?

Sebenarnya perkara itu datang semasa hari rombongan keluarga Yusry datang menghantar tanda lagi, saya teringatkan arwah bapa. Dia tiada bersama kami untuk melihat satu-satunya anak perempuannya yang akan berkahwin.

Sudah mula menghitung hari dan semakin memuncak debar?

Sebenarnya tidak, tak berdebar sebaliknya saya rasa lega, tenang, bahagia dan sangat-sangat bersyukur kepada Ilahi. Saya tak rasa gementar saat bernikah nanti. Cuma saya hanya rasa menggeletar, bila cincin disarungkan ke jari pada hari pertunangan tempoh hari.

Mungkin sebab masing-masing sibuk bekerja, jadi tak rasa sangat macam nak kahwin?

Mungkin juga. Nak tahu tak, semasa beberapa babak terakhir penggambaran di Pulau Pangkor baru-baru ini, saya kena sengat tebuan betul-bawah kelopak mata kiri. Muka saya bengkak dan sakit yang amat, nasib baik tak kena mata tetapi sekarang dah pulih. Sekarang Yusry masih sibuk buat suntingan filem Vikingdom, saya pula masih terlibat dengan kerja-kerja sebagai duta tapi sudah mula cuti sejak 17 Februari lalu (Jumaat) sampailah hari nikah nanti.

Selain persediaan mental serta persiapan untuk majlis, ada persediaan lain?

Ada, mak nak saya ikut cara persediaan orang dulu-dulu, ikut cara tradisional. Inilah masanya sebab selama ini asyik sibuk dengan kerja, akan ada malam berinai dan khatam al-Quran juga, saya juga akan buat acara mandi bunga. Tapi mandi bunga beramai-ramai ala-ala girls affair dengan sepupu-sepupu serta ibu-ibu saudara yang dah kahwin atau belum kahwin boleh ikut serta. Seronoklah dapat rasa pengalaman begitu, saya sendiri ikut cakap ibu, dia yang nak sangat saya buat semua itu. Lagipun benda-benda begitu akan buat bakal pengantin rasa istimewa, menenangkan dan lebih dekat dengan budaya serta saudara-mara.

Sudah bersedia pikul tugas sebagai isteri orang?

Ini benda baharu, saya tak boleh kata sudah bersedia seratus-peratus sebab saya belum pernah berkahwin. Saya cuma harap Yusry bahagia dan gembira dengan kehadiran saya dalam hidupnya. Saya bersyukur sebab kami bertemu pada waktu yang tepat, kalau Yusri jumpa saya dua atau tiga tahun lepas mungkin kami orang yang berbeza, saya bukan saya seperti hari ini, begitu juga dengan Yusry.

Apa rancangan selepas berkahwin?

Kami rancang untuk bercuti selama dua minggu, mungkin akan ke Eropah untuk bulan madu kemudian balik sambung kerja sebab saya ada praproduksi untuk filem Tingkat 4 pula.


Labels: