Siti Nurhaliza pemilik pertama The Istana

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Magna Prima Bhd., pemaju hartanah tempatan hari ini melancarkan projek sulung kediaman di luar negara, The Istana di Melbourne Australia yang menyaksikan penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menjadi pembeli pertama unit kediaman itu.

Siti Nurhaliza merupakan pembeli pertama kediaman pangsapuri satu bilik The Istana.

The Istana merupakan pangsapuri kediaman menara tunggal setinggi 25 tingkat terletak di A'Beckett Street, sebuah lokasi di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Melbourne.

Pengarah Eksekutif Magna Prima, Datuk Rahadian Mahmud berkata, nilai pembangunan kasar projek tersebut ialah RM714 juta dan 62 peratus kediaman telah pun dijual kepada pembeli Australia dan antarabangsa.

Manakala bakinya pula dijual untuk rakyat Malaysia dan ekspatriat yang menetap di Australia dengan harga permulaan RM1.1 juta dan ke atas dengan jangkaan siap pada tahun 2014.

"Pelaburan ke atas The Istana merupakan projek sulung kami di luar negara dan sedikit sebanyak mempercepatkan langkah kami untuk meluaskan perniagaan ke peringkat serantau," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran jualan The Istana yang disempurnakan oleh Siti Nurhaliza di sini hari ini.


Labels: