Balik umrah, Abby berubah, Alhamdulillah!

NIAT pelakon Abby Abadi, 34, untuk berhijrah dengan memakai tudung sudah lama terpendam di hati. Namun ibu tunggal kepada tiga anak comel itu bimbang jika terlalu digembar-gemburkan kelak, ia akan memakan diri.

Bagaimanapun kunjungannya ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada 15 hingga 26 Mac lalu akhirnya mempermudahkan niat sucinya itu.

Menurut pelakon itu, selama ini dia enggan dituduh mempersendakan agama dalam soal bertudung.
Akuinya, dia khuatir melakukan hijrah itu atas desakan mahupun tuntutan semasa, sebaliknya mahu ia berlaku atas kerelaan sendiri.

“Takut juga kalau terjadi senario sekejap pakai dan sekejap buka tudung. Tetapi alhamdulillah, dua hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah, saya nekad untuk bertudung sekali gus berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini buat selama-lamanya. Segala-galanya dipermudahkan.

“Saya juga berharap perubahan ini tidak akan menjadi masalah atau beban kepada orang sekeliling.

Apatah lagi hal bertudung ini sering diperkotak-katikkan, terutama apabila ia membabitkan individu yang memilih kerjaya seni untuk mencari rezeki,” katanya sambil memberitahu, sekalipun sudah bertudung, kerjaya seni tetap berjalan seperti sedia kala.
Mengenai kesempatan indah menunaikan umrah buat kali pertama itu, ibu kepada Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, ini bersyukur kerana kembara dan ibadatnya di sana berjalan lancar.


Labels: