Gambar | Wajah baharu pesawat MAS A380-800

SUBANG 8 Mac - Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengumumkan wajah baharu Airbus A380-800, pesawat utama syarikat penerbangan itu, yang akan diserahkan pada Jun.

Berbeza dengan jalur warna merah dan biru sebelumnya, badan pesawat A380 dua dek itu kini mempunyai jalur tiga variasi warna biru, dengan diselangi garisan berwarna perak, pada bahagian tengah badannya yang berwarna putih.

Logo ikon “wau” Kelantan pada ekor pesawat itu dikekalkan tetapi dalam warna biru, dengan tulisan “Malaysia Airlines” pada kedua-dua sisi kapal terbang itu.

Bagaimanapun, wajah baharu itu tidak melibatkan kumpulan pesawat sedia ada, melainkan jika pengurusan MAS membuat keputusan sebaliknya, kata pegawai-pegawai syarikat penerbangan itu pada satu taklimat di sini hari ini.

Kata mereka, MAS akan menggunakan pesawat baharu itu bagi perkhidmatan komersial pada 1 Julai bermula dengan penerbangan tiga kali seminggu dalam sektor Kuala Lumpur-London.

Pesawat A380 kedua akan diperkenal pada laluan ini mulai akhir Ogos untuk menawarkan operasi dua kali sehari manakala yang ketiga akan digunakan bagi penerbangan Kuala Lumpur-Sydney. - BERNAMA


Labels: ,