Persiapan Perkahwinan Scha dan Awal hampir siap

SEGALA rasa sangsi yang pernah bertandang di sudut hatinya perlahan-lahan beransur pergi. Semangat yang dulunya hilang kembali pulih, meyakinkan Sharifah Norazean Syed Mahadzir Alyahya atau mesra disapa Scha destinasi cintanya semakin hampir.

Enggan menipu diri sendiri, Scha, 28, mengakui pernah tewas dengan permainan perasaannya apabila dia berasa seperti kehilangan dan kabur untuk memulakan persiapan majlis pernikahannya dengan pelakon dan pengacara, Awal Ashaari.

“Entah kenapa tiba-tiba keghairahan menanti hari bersejarah itu pergi begitu saja. Saya ada beritahu Awal, saya seperti dalam kebingungan, tidak tahu di mana mahu bermula. Apatah lagi ketika itu kekuatan saya diuji apabila ibu saya, Junaidah Hashim tidak sihat membuatkan saya hampir lupa kepada persiapan perkahwinan.

“Hanya selepas ramai bertanya mengenainya, baru saya bergerak untuk melakukan persediaan. Bukan tidak yakin, cuma barangkali Tuhan mahu terlebih dulu menguji kekuatan dan ketabahan hati kami sebelum bersatu. Alhamdulillah, sejak sebulan setengah lalu saya dan Awal kembali menyusun rencana perkahwinan. Mujur juga ada Dynas Mokhtar, dia banyak membantu menguruskan beberapa hal yang saya dan Awal kurang jelas untuk memulakannya.

“Setakat ini sudah 50 peratus persiapan dibuat. Pastinya majlis itu bukan dalam masa terdekat kerana saya dan Awal masih menanti pengesahan lokasi pernikahan,” kata Scha yang kelihatan sedikit susut pada pertemuan itu.


Labels: ,