Pertunangan Akma AF3 Dan Farih Hamshi

KUALA LUMPUR, 12 MAC 2012: Bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Akma Abdullah, 27, mengakui bakal bertunang dengan eksekutif, Petronas, Farih Hamshi, 28.

Mula mengenali jejaka berkenaan, selepas berakhirnya program realiti tersebut, kata Akma, Farih diperkenalkan oleh teman kepadanya.

"Insya-Allah, mengikut perancangan, saya akan bertunang dengan Farih pada 6 Mei depan. Saya mula mengenali dia, selepas saya habis program AF3. Kawan saya yang memperkenalkan saya dengannya," katanya kepada portal murai.com.my.

Menyambung perbualan, ucap Akma, dia juga tidak menyangka akan dipertemukan semula dengan Farih. Memandangkan kedua-dua mereka,lebih lima tahun tidak bertemu antara satu sama lain kerana sibuk dengan komitmen masing-masing.

"Sebenarnya saya juga tidak menyangka akan bertemu jodoh dengannya. Dalam masa lima tahun, kami tidak berjumpa sehinggalah awal tahun 2011 kami berjumpa semula. Setelah bertemu semula, alhamdulillah kami mengambil keputusan untuk bertunang," jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penyebaran gambarnya di laman sosial, kelihatan seperti majlis pertunangan, Akma menafikan perkara tersebut. Namun Akma mengakui, foto tersebut miliknya dan ia merupakan rakaman detik manisnya dirisik pada 3 Mac lalu.

"Saya masih belum menjadi tunangan orang lagi. Gambar yang tersebar itu pun merupakan foto sewaktu saya dirisik pada 3 Mac lepas. Majlis merisik itu telah diadakah di rumah saya di Jalan Klang Lama," katanya lagi.


Labels: