Subsidi RM180 Bagi Yuran Taska Sektor Awam


KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan subsidi yuran Pusat Jagaan Kanak-Kanak (Taska) sektor awam sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak kepada ibu bapa berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei berkata subsidi itu diberikan sebagai tanda prihatin kepada penjawat awam yang menghantar anak mereka ke taska di tempat kerja sektor awam.

Beliau berkata sektor swasta juga tidak dilupakan di mana kerajaan telah memberikan insentif pengecualian cukai selama sepuluh tahun ke atas perbelanjaan pembinaan atau pembelian bangunan untuk membuka taska.

"Bagi menggalakkan penubuhan taska di tempat kerja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada mana-mana kementerian atau jabatan untuk menubuhkan taska di tempat kerja," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang).

Sebelum ini, pada tahun 2007, kabinet telah meluluskan subsidi yuran taska sektor awam dengan peruntukan maksimum RM180 sebulan bagi setiap anak penjawat awam yang layak, iaitu yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Sementara itu, Heng berkata sehingga kini hanya 76 buah taska telah ditubuhkan dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu 60 taska di tempat kerja sektor awam dan 16 buah di sektor swasta.

Katanya pihak pengurusan sektor swasta dan awam menghadapi kekangan membuka taska di tempat kerja antaranya ketiadaan ruang yang sesuai, persekitaran tempat kerja yang tidak selamat seperti di kawasan kilang selain kesukaran mendapatkan pekerja atau pengasuh yang terlatih. - BERNAMA


Labels: