Skim Rumah Pertamaku - 280 permohonan diluluskan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 280 permohonan dengan nilai pinjaman sebanyak RM41.1 juta telah diluluskan bagi Skim Rumah Pertamaku hingga 31 Januari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, pihak kementerian juga menerima 1,623 permohonan dengan nilai pinjaman sebanyak RM238.9 juta.

“Selangor mencatatkan permohonan tertinggi dengan 96 permohonan dengan nilai pinjaman sebanyak RM14.4 juta. Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 57 permohonan (RM8.5 juta), Johor sebanyak 32 permohonan (RM4.8 juta), Pulau Pinang mencatatkan 21 permohonan (RM2.9 juta).

“Perak pula mencatatkan 21 permohonan (RM2.8 juta), Melaka dengan 17 permohonan (RM2.4 juta) serta Sabah dengan 13 permohonan (RM1.9juta), Kedah dengan lapan permohonan (RM1.1 juta), Negeri Sembilan mencatatkan tujuh permohonan (RM916,500), Pahang enam permohonan (RM966,900), Terengganu dengan dua permohonan (RM265,000) dan Sarawak hanya satu permohonan diterima (RM192,000),” katanya ketika menjawab soalan lisan, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Perlis, Kelantan, Wilayah Persekutuan Lsabuan dan Putrajaya tiada permohonan diterima hingga 31 Januari lalu.

“Bagi skim ini, Cagamas akan member jaminan 10 peratus daripada jumlah pembiayaan kepada institusi kewangan yang terlibat atas pembiayaan yang lebih daripada 90 peratus.

“Skim ini membolehkan golongan muda yang baru bekerja memiliki rumah sendiri serta mereka boleh mendapat pembiayaan penuh daripada bank-bank yang terlibat untuk membeli rumah oertama mereka,” katanya.

Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan Mac 2011 merupakan satu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan muda yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Labels: