Semak Daftar Pemilih Tambahan Secara Online

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mempamerkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2012 di 952 lokasi seluruh negara selama dua minggu, mulai hari ini.

Ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri di 15 tempat, Pejabat Pos Berkomputer (451), Kompleks/Pejabat Kerajaan (86), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (124), Majlis Daerah/Perbandaran (48), Dewan Serba guna/Rukun Tetangga/Balai raya/Penghulu/Dewan (194) dan lain-lain tempat (34).

Orang ramai juga boleh membuat semakan melalui laman web SPR di www.spr.gov.my.

Warga yang baru berdaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

“Bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih itu boleh mengisi Borang C tidak melebihi 20 orang,” katanya.

Borang itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang Daftar Pemilih itu dipamerkan.

SPR juga akan mengedarkan cakera padat (CD) yang mengandungi senarai nama yang akan dipotong kepada parti politik.

Untuk pertanyaan boleh hubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau faksimili 03-88889117 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. – BERNAMA

Labels: